Khalid perlu cuti hingga siasatan skandal pasir selesai
May 24, 2010 – 8:19 amGABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor mencadangkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bercuti sementara waktu bagi membolehkan siasatan skandal pasir oleh pihak berkuasa lancar.
Sambil memuji sikap telus dan berani Khalid menggalakkan sesiapa sahaja membuat laporan polis demi menjaga harta negeri atau membanteras penyalagunaan kuasa, GPMS berpendapat Khalid wajar bercuti kerana adiknya Hajiman turut didakwa terbabit dalam kegiatan pasir di Selangor.
“Khalid patut bercuti bertugas sebagai Menteri Besar bagi menjamin siasatan lebih telus oleh Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) memandangkan isu ini dikatakan melibatkan adik beliau sendiri, Hajiman,” kata Pengerusi GPMS Selangor,.Mohd Faizal Salleh.
Menurut beliau lagi, bagi mengelak sebarang kecurigaan semua pihak bahawa Khalid akan mempengaruhi siasatan ini, maka wajar Khalid mengambil cuti sehingga siasatan terhadap kes ini selesai.
“Kita tidak mahu siasatan ini terganggu, semua pihak termasuk Khalid diminta memberi ruang kepada pihak polis, SPRM dan Selcat menyiasat secara terperinci dan menyeluruh kes dakwaan kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB),” katanya.
Katanya lagi, Khalid sebelum ini kerap kali menyatakan pentadbiran beliau dan kerajaan negeri Selangor adalah telus serta terbuka dan Khalid boleh membuktikannya dengan bercuti sehingga siasatan selesai.
GPMS Selangor juga katanya, mengharapkan tiada sebarang andaian dibuat berhubung kes itu sebaliknya menunggu hasil siasatan polis, SPRM dan Selcat terhadap pengadu dan juga suspek yang berkenaan.
Mohd Faizal berkata, siasatan secara profesional pihak polis dan SPRM serta Selcat akan memastikan kedua-dua pihak iaitu pengadu selaku mangsa dan juga suspek mendapat keadilan.
Dalam pada itu, GPMS Selangor menyambut baik kenyataan Penasihat PKR yang juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan negeri sedia jika anak syarikatnya disiasat berhubung dakwaan salahguna kuasa dan korupsi dalam aktiviti perlombongan pasir. -23/5/2010



