Jiwa Badrul lebih tenang sejak keluar PKR…
May 1, 2010 – 8:55 amRAMAI yang tidak perasan kehadiran beliau pada hari penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Tambahan pula beliau memakai kemeja BN berlengan pendek warna biru dan ada logo 1Malaysia di bahagian belakang.
Sebenarnya sejak keluar PKR, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah sudah beberapa kali hadir program UMNO dan BN atas kapasitinya wakil rakyat Bebas yang mesra BN.
Ketika menunggu proses penamaan calon selesai, Agendadaily sempat berbual dengan bekas wakil rakyat PKR itu yang pernah mencetuskan kontroversi kerajaan negeri kerana dikatakan ‘menghilang diri’.
Malah Pengerusi PKR negeri yang juga Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim memberi amaran mengambil tindakan terhadapnya serta meminta beliau melepaskan kerusi Pelabuhan Klang.
Namun, Badrul Hsiham, 50, yang muncul seketika bagi memuaskan hati pimpinan PKR kemudian terus berdiam diri sehingga mengambil keputusan keluar PKR pada 29 Oktober tahun lalu..
Dalam perbualan singkat itu, Badrul Hisham mengakui sejak keluar PKR dan jadi Bebas, jiwanya lebih tenang dan lapang serta dapat berdepan pengundi-pengundi di kawasannya dengan lebih yakin.
“Segalanya semakin baik…lebih tersusun. Program bersama rakyat hampir setiap bulan selain hari Isnin, Rabu dan Jumaat yang dikhaskan mereka bertemu saya di pejabat,” katanya.
Badrul Hisham yang sedang berdepan kes tuntutan cerai isterinya menjelaskan, pengundi-pengundi lebih banyak ingin mengetahui apa sebenarnya berlaku kepadanya ketika bersama PKR.
Selain itu, isu-isu politik semasa juga fokus penduduk setempat dan dalam perjumpaan atau program-program tertentu, beliau mengambil kesempatan memberi penerangan isu-isu berkaitan.
Ditanya mengenai aktivitinya yang kurang dilaporkan media, Badrul Hisham menjelaskan soal itu tidak begitu penting.
“Saya jalankan tugas seperti biasa. Saya pergi rumah ke rumah menghulurkan bantuan bukan dalam majlis besar-besaran. Cara ini lebih berkesan kerana kita dapat mengenali penduduk lebih rapat,” katanya.
Katanya, beliau yakin rakyat boleh menerima semula BN mahupun UMNO tetapi ia perlu masa kerana ada antara rakyat mempunyai pandangan berbeza terhadap politik masa kini.
Tambahan pula katanya, masyarakat kampong di kawasan yang diwakilinya ada majoriti Melayu dengan golongan pertengahan dan pelajar juga ramai.
Beliau menyatakan bersyukur kerana setakat ini mendapat bantuan dan kerjasama
daripada pemimpin BN dan UMNO.
Katanya, ini berbeza ketika beliau dalam PKR kerana peruntukkan kepada wakil rakyat hanya diberikan kepada mereka yang rapat dengan pimpinan parti serta kerajaan negeri pakatan rakyat.
“Parti mengongkong peruntukkan dan memberinya kepada individu tertentu sahaja,” katanya.
Badrul Hisham nampaknya tidak mahu menyentuh banyak kisah suramnya dalam PKR tetapi percaya ada lagi wakil rakyat parti itu akan mengikut jejaknya pada masa akan datang.
Beliau juga mengakui UMNO dan BN mula menampak perubahan selepas tsunami politik Mac 2008 serta mula diterima rakyat termasuk gagasan 1Malaysia.
Cuma pesannya kepada rakyat supaya menilai apa yang PKR buat dan apa yang BN sudah buat selama ini.
Mengenai kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau yakin Perdana Menteri itu mampu berdepan ancaman serta serangan pembangkang yang bertubi-tubi sekarang.
Bagaimanapun, beliau meminta pemimpin-pemimpin BN dan UMNO jangan sampai menconteng arang ke muka Najib.
Pada Jumaat , barangkali kerana keyakinan kepada UMNO dan pimpinan Najib maka Badrul Hisham secara rasmi menyerahkan borang ahli untuk menyertai UMNO selepas enam bulan keluar PKR dan menjadi Adun Bebas.
Borang keahlian itu diserahkan Badrul Hisham kepada Najib yang juga Presiden UMNOdan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor sambil disaksikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) selepas Najib mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Institut Latihan dan Memperkasa UMNO di Janda Baik.
Dengan kemasukan beliau, kini ada 21 Adun BN dengan 19 daripadanya adalah daripada Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Pakatan pembangkang membentuk kerajaan di Selangor pada pilihan raya umum lalu selepas menguasai 36 kerusi DUN iaitu - PKR (15), DAP (13) dan Pas (lapan), manakala Barisan Nasional (BN) 20 kerusi.




One Response to “Jiwa Badrul lebih tenang sejak keluar PKR…”
Syukurlah..bukan senang untuk mendapatkan ketenangan jiwa..ibarat”syurga yang disegerakan”..tapi jangan ada jiwa kain yang tak tenang..nanti boleh diibaratkan “neraka yang disegerakan..apa kata tuan-tuan..
By ranggi on May 1, 2010