Isu arak: Hanya ribut dalam cawan pembangkang…

August 12, 2009 – 8:00 am

Rakyat Selangor beragama Islam boleh lupakan saja hasrat atau harapan untuk melihat PAS di negeri itu akan memperjuangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan agama dan masyarakat Islam.

Dulu isu anggota Exco Teresa Kok menegur suara azan. PAS Selangor mulanya bising-bisng juga tetapi akhirnya mengalah dan membisu.

Terbaru isu anggota Exco Ronnie Liu mengarahkan MBSA memulangkan semula arak yang dirampas pihak berkuasa tempatan itu kerana jual di tempat awam secara terbuka di kawasan mojoriti Melayu.

Kali ini, PAS Selangor yang masih diterajui Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang juga anggota Exco bising-bising juga malah desak Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menukarkan portfolio Ronnie yang berkaitan kerajaan tempatan.

Malah Pemuda PAS negeri lebih keras dengan meminta Ronnie digugurkan sahaja daripada barisan Exco kerajaan campuran PKR,DAP dan PAS.

Banyak pihak mulai nampak tindak tanduk PAS Selangor adalah tanda-tanda awal parti itu cuba kembali kepada matlamat asal seperti kerap dilaungkan sbelum ini untuk menegakkan agama Islam.

Namun, kenyataan Dr Hasan pada Selasa sudah cukup membuktikan parti itu akan terus ‘membuntuti’ apa sahaja suara-suara pemimpin PKR dan DAP yang lebih hebat dan berkuasa walaupun mereka dalam satu pakatan.

Maka lupakan saja untuk melihat PAS memperjuangkan atau menegakkan Islam sebaliknya anggaplah apa juga krisis yang berbangkit dalam ke tiga-tiga parti itu ibarat ‘ribut dalam cawan’.

Kenapa PAS Selangor tiba-tiba tarik brek dalam isu arak dan desakan minta Ronnie ditukarkan portfolio?

Senang saja. PAS adalah melukut tepi gantang. Baik di peringkat Pusat mahupun di Selangor, jumlah kerusi yang dimenangi parti itu jauh lebih kecil berbanding PKR dan DAP.

Mustahil suara minoriti mahu menewaskan majority.

Keduanya, PAS khuatir hilang undi penyokong-penyokong PKR dan DAP dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Kerusi Dewan Undangan Negeri itulah satu-satu ‘maruah’ PAS di Pulau Pinang.

Walaupun bekas wakil rakyat di DUN berkenaan, arwah Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman tidak ditawarkan Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, PAS nyata tidak peduli asalkan mereka terus berada dalam pakatan.

Jika adapun pemimpin PAS di negeri itu bising-bising soal hendak bertanding di DUN Penanti sebelum ini, bising-bising nak pulau pengundi di Penanti jika bukan calon PAS bertanding, semua itu hanya ‘ribut dalam cawan’.

PAS kini menunjukkan seolah-olah parti itu berganting harap pada PKR dan DAP untuk terus nampak seolah-olah masih bertaring sedangkan realitinya, taring PAS semakin tumpul.

Hanya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Husam Musa yang jadi ‘tabung oksigen’ menampakkan PAS terus bernyawa sedangkan roh perjuangan PAS sudah lama berkubur sejak mereka duduk dalam selimut bersama PKR dan DAP.

Berbalik soal isu arak dan Ronnie di Selangor, PAS Selangor mahukan isu kontroversial melibatkan kawalan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu/Islam di negeri Selangor initidak dieksploitasi atau diputarbelitkan oleh mana-mana pihak.

Walaupun Dr Hasan dalam kenyataannya pada Selasa menegaskan, PAS negeri akan terus konsisten dengan tuntutannya agar segala jenis minuman arak yang diharamkan penjualan dan pembeliannya melalui Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor tidak lagi dijual di kawasan majoriti penduduk Melayu/Islam di negeri itu, tetapi ianya tidak ubah, cakap lain, buat lain.

Tidak perlu beliau memberi alasan sedang meneliti cadangan yang diberikan Menteri Besar berhubung kawalan kendiri terhadap penjualan arak ini kerana.akhirnya PAS akur juga dengan keputusan kerajaan negeri.

Khalid sendiri sudah mengalihkan kesalahan itu kepada kerajaan Pusat dengan berkata, cadangan yang dikemukakan PAS itu hanya boleh dilaksanakan oleh Pusat.

Ronnie pula dalam interbiu di sebuah portal berita menafikan menafikan beliau campurtangan dalam keputusan MBSA merampas minuman keras dalam satu serbuan yang dilakukan.

Sebaliknya, Liu berkata pembabitannya dalam kontroversi twrsebut hanyalah terhad kepada ‘menasihatkan’ MBSA bahawa serbuan ke atas kedai 7-11 di Seksyen 8, Shah Alam adalah tidak sah dan tidak selari dengan dasar kerajaan negeri.

Beliau juga memilih Pengarah Perlesenan MBSA sebagai kambing hitam kononnya tindakan itu kerana tekanan dari beberapa ahli majlis tetapi tidak mahu menyebut nama mereka.

Tindakan Khalid dan Ronnie mengalihkan kesalahan dan beban kepada orang lain terutama kepada kerajaan Pusat, UMNO atau Barisan Nasional bukan cerita baru.

 

Cuma perlu ditanya, jika mereka yang sudah mentadbir negeri tetapi masih tidak mampu melaksanakan perubahan dan peraturan seperti kerajaan Kelantan, maka adalah lebih baik mereka terus mentadbir apatah lagi bercita-cita mahu menguasai Kerajaan Pusat.-11/8/2009

 

 

Post a Comment