Belum didakwa tetapi Khalid sudah lantik peguam
February 21, 2009 – 9:29 am
WALAUPUN belum menghadapi sebarang pertuduhan dan pendakwaan kerana dipercayai salah guna kuasa membabitkan penyelenggaraan kereta peribadi dan pengagihan lembu korban, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nampaknya sudah bersiap sedia dengan peguamnya Sankara Nair.
Ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau sudah rasa bahang ekoran kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bahawa SPRM mempunyai bukti untuk mendakwa Menteri Besar Selangor itu.
Menurut Ahmad Said, (SPRM) mendapati, wujud bukti kukuh menunjukkan Menteri Besar Selangor itu menyalahgunakan kuasanya dalam isu penyelenggaraan kereta dan membelian lembu korban.
Beliau berkata, ada bukti Khalid menyalahgunakan kuasanya dalam penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 untuk sambutan Aidiladha pada Disember tahun lalu di kawasan Parlimen beliau di Bandar Tun Razak.
Ahmad Said juga berkata, perkara itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.
Katanya, walaupun SPRM boleh membuat keputusan membuat dakwaan tetapi suruhanjaya merasakan, adalah lebih baik jika Jabatan Peguam Negara yang membuat keputusan memandangkan ia melibatkan orang kenamaan..
Bagaimanapun, Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Jumaat di Shah Alam enggan mengulas mengenai kenyataan Ahmad Said itu.
Katanya, sebarang kenyataan berhubung siasatan itu pada masa depan akan dilakukan oleh peguamnya, Sankara N. Nair.
Dalam sidang media di tingkat 20 Pejabat Menteri Besar di Shah Alam kemudiannya, Sankara menyalahkan SPRM berhubung kenyataan oleh Ahmad Said di Pulau Pinang, pagi Jumaat.
Menurutnya, SPRM memilih cara yang bukan amalan kebiasaannya untuk tidak membuat kenyataan yang mengadili seseorang yang masih dalam siasatan.
“Dalam kes ini, SPRM telah memilih untuk meninggalkan amalan terhormatnya yang jelas pilih kasih,” katanya yang menyifatkan tindakan itu menyebabkan anak guamnya - seorang pemimpin pembangkang kelihatan bersalah di mata umum sebelum beliau didakwa atau disabitkan kesalahan di mahkamah.
Namun, yang peliknya Sankara terlupa, Khalid bukan pemimpin pembangkang di Selangor tetapi adalah Menteri Besar yang mengetuai kerajaan campuran PKR,DAP dan PAS.
Cuma dalam kebanyakkan isu, pimpinan kerajaan negeri itu dilihat mentadbir Selangor seolah-olah mereka masih jadi pembangkang.
Tindak tanduk Khalid mendapatkan khidmat peguam sebelum ada dakwaan terhadapnya dalam dua aduan rasuah oleh Gerakan Anti Korupsi Malaysia (GERAK) sudah mula menimbulkan persepsi di kalangan rakyat Selangor yang berfikir, jika tidak salah kenapa takut?
Lagipun kenapa kewibawaan SPRM dipertikaikan kerana sebelum ini jika suruhanjaya itu lambat bertindak, mereka menyalahkan pihak berkuasa itu tetapi jika cepat bertindak, kenapa pula hendak marah-marah?
Patutlah Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali di Dewan Rakyat, Khamis menyindir sikap pemimpin tertentu dengan berkata: “Kenapa kita nak rosakkan semua orang dan kata kita saja yang betul, kita sahaja yang bersih sedangkan kita adalah pembohong besar,”.
Bagaimanapun, tumpuan semua pihak kini pastinya kepada Jabatan Peguam Negara yang bakal memutuskan sama ada Khalid akan didakwa atau sebaliknya dalam kes salahguna kuasanya itu.
Dan jangan hairan, SPRM dan Jabatan Peguam Negara akan ditohmah menjadi alat Barisan Nasional untuk menjatuhkan pemimpin pembangkang.-20/2/2009




One Response to “Belum didakwa tetapi Khalid sudah lantik peguam”
Orang-orang yang jahat dan banyak tipu muslihat seperti Mb selangor inilah yang banyak merosakkan keamanan negara.
By ALAM on Feb 21, 2009