Karpal sudah insaf, Anwar disuruh taubat, Hadi macam mana?

February 10, 2009 – 11:20 pm

“TAKBIR baru untuk Anwar : ReformaSingh..ReformaSingh,”. Itu ungkapan sms diterima Agendadaily sejurus selepas disiarkan berita Karpal Singh lepas bom terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam episod terbaru parti pembangkang selepas kerajaan campuran di Perak tumbang minggu lalu.

Kemarahan Pengerusi DAP bagai tidak dapat dibendung malah Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng turut dikecam kerana bersekongkol dan lebih bersetuju dengan Anwar berbanding menyokong Karpal.

Ahli Parlimen Gelugor itu akhirnya mengakui beliau kecewa kerana DAP seperti diperalat Anwar sebagai Ketua Pembangkang dengan retorik politiknya mengalakkan perbuatan wakil rakyat melompat parti bagi mencapai impian kerajaan baru 16 September tahun lalu.

“Beliau telah menyebabkan cukup masalah dan sudah tiba masa bagi Anwar bertaubat.

“Kini masa untuk Pakatan Rakyat memerlukan seorang lagi pemimpin,” kata Karpal sambil menegaskan Anwar harus menjawab banyak persoalan terhadap kekecohan yang berlaku dalam barisan pembangkang ketika ini.

Katanya sebagai Pengerusi kebangsaan DAP, pemimpin dalam parti itu seharusnya memberikan sokongan terhadapnya dan bukan menyokong Anwar.

“Saya mohon sokongan… saya adalah Pengerusi DAP hingga sekarang. Saya memberi amaran kepada pemimpin parti saya jangan keterlaluan mendesak saya… saya telah banyak bersabar selama ini, janganlah jadikan perkara ini semakin meruncing,” katanya.

Karpal seperti sudah insaf dan meminta Anwar bertaubat kerana tindak tanduknya itu tetapi bagaimanapun dengan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang?

Apakah beliau masih khayal dengan janji-janji termasuk jawatan timbalan perdana menteri sekiranya parti pembangkang berjaya menguasai kerajaan?

PAS harus membuka mata dan fikiran dengan kenyataan terbuka Karpal yang sudah tidak memperakukan Anwar sebagai ketua pembangkang kerana terus mencetuskan ketegangan di kalangan pembangkang.

Kejatuhan kerajaan campuran di Perak pastinya menconteng arang di muka pemimpin PAS kerana rakyat melihat kegagalan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mentadbir negeri itu.

Nizar menjadi Menteri Besar Perak ke 10, menaiki kenderaan rasmi juga nombor 10 tetapi akhinya menjadi menteri besar hanya selama kira-kira 10 bulan.

Lebih malang lagi kejatuhan kerajaan campuran DAP,PKR dan PAS di Perak ini kalau diteliti bukan sahaja disebabkan tindakan empat wakil rakyat keluar parti dan menjadi Bebas tetapi berpunca sikap tergesa-gesa Speaker Dewan Undangan Negeri S.Sivakumar menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Surat yang mendakwa wakil-wakil rakyat terbabit sudah meletak jawatan dan berharap SPR memutuskan pilihan raya kecil diadakan tetapi hasrat itu tidak tercapai apabila SPR menolak kerana meragui kesahihan surat peletakan jawatan wakil rakyat berkenaan yang sudah menafikan berbuat demikian.

Kesilapan Sivakumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)DAP Tronoh menyebabkan peluang PAS terus kekal mentadbir Perak melalui Nizar hanya tinggal impian setelah peluang terbaik diperolehi mereka melalui perkenan Sultan Perak selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu walaupun PAS hanya menang enam kerusi sahaja.

Sebelum insaf atau bertaubat, inilah masa terbaik pemimpin-pemimpin PAS bermuhasabah dan berdiri di depan cermin melihat kesilapan parti itu yang sudah terkeluar landasan perjuangan sebenar sebaik bersekongkol dengan PKR dan DAP.

PAS perlu melakukan pembersihan dalam parti bagi memastikan pemimpin PAS yang pro-Anwar dikenali kumpulan Erdogan diketepikan daripada terus menjadi duri dalam daging parti itu.

Selama ini bukanlah sesuatu yang menguntungkan PAS berada dalam kumpulan pembangkang dan kerajaan campuran terutama di Perak mahupun Selangor.

Walaupun berkongsi kuasa dan dipilih sebagai Menteri Besar, kalangan pemimpin politik melihat mulut dan tangan Nizar terikat dalam membuat keputusan bagi kepentingan orang Islam dan Melayu di Perak.

Di Selangor pun apa kurangnya. Kepimpinan PAS diketuai Datuk Dr Hassan Ali menerima nasib hampir sama dengan Nizar.

Pandangan PAS diketepikan dalam sambutan 100 hari sambutan kerajaan campuran mentadbir Selangor, ahli PAS hanya diarah menjadi parkir dan memasang poster.

Isu kepentingan orang Melayu dan Islam sudah kerap kali tercabar sehingga ada bantahan dihantar kepada Sultan Selangor tetapi Hassan terus membisu kerana tidak mampu berbuat apa-apa dalam kerajaan yang lebih dikuasai KPR dan DAP.

Dengan macam-macam isu membabitkan penyelewengan yang didakwa melibatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin DAP dalam kerajaan campuran di Selangor, tidak mustahil PAS turut jadi mangsa seperti di Perak jika rakyat bangkit menolak mereka di negeri itu.

Kelantangan Karpal mahu menyaman Sultan Perak dan sikap Nizar yang mohon derhaka kepada Sultan Azlan Shah bakal mencatat sejarah hitam dalam pembangkang termasuk PAS.

Serangan Karpal terhadap Anwar juga bakal membuka episode baru parti pembangkang dan perkara ini dijangka terus berlarutan apabila beberapa PKR sudah mula mengecam Karpal bagi membela Ketua Umum mereka.

PAS harus sedar walaupun tidur sebantal dengan PKR dan DAP, kesemua mereka mempunyai mimpi dan ideologi berbeza. Sebelum terantuk dan tegandah, elok PAS fikir-fikirkan untuk keluar dari pakatan pembangkang.

  1. 2 Responses to “Karpal sudah insaf, Anwar disuruh taubat, Hadi macam mana?”

  2. subhanallah… kenapa lah bodoh sgt editor web ini…..kalau ia pun jgn perbodohkan agama islam dengan menyatakan ia sebagai takbir baru…tetapi tulislah sebagai sorakan baru. Jelas sekali editor tidak layak diberikan tggjwb sebagai editor kerana tidak menjalankan tggjwb men’edit’ atau mengkaji segala sumber yg diterima, malahan jika ade pembaca yg sama taraf mentallitinya dgn editor, maka tersebarlah satu hasutan baru menyatakan ia sebagai suatu takbir bukan sorakan…. jgn jadi pemecah-belah rakyat yg berilmu. Editor patut habiskan@tamatkan sekolah, pakcik ni sekolah pondok je pun pandai bezakan yg hak dan yg batil. lu pikir la sendrik. tata

    By khirtoyol on Feb 13, 2009

  3. Terima kasih kerana saudara begitu senang memperbodohkan manusia lain tanpa perlu membayar apa-apa kerana web ini dilayari secara percuma. -editor

    By Admin on Feb 14, 2009

Post a Comment